KUALA NERUS - Polis sedang giat memburu dua lelaki yang terlibat dalam kejadian samun bersenjata di sebuah kedai emas di Batu Enam, di sini, pada Khamis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintenden Wan Mohd Zaki Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden berkenaan jam 10.46 pagi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati salah seorang daripada dua suspek dipercayai Melayu memegang sebilah parang ketika meluru masuk ke dalam kedai tersebut.
**media[3708001]**
"Kejadian berlaku dengan sangat pantas dan tidak sampai satu minit pun. Ketika kejadian, terdapat empat orang pekerja sedang bertugas di dalam kedai berkenaan.
"Suspek berjaya melarikan tiga dulang emas, namun anggaran jumlah kerugian masih belum dapat dipastikan buat masa ini," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.
Sebelum ini tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 50 saat milik kedai emas berkenaan yang memaparkan dua lelaki memakai topi keledar memasuki premis berkenaan sebelum melarikan barangan kemas.
Wan Mohd Zaki berkata, bagaimanapun tiada sebarang kecederaan dialami oleh pekerja di premis tersebut dan kedua-dua suspek dikesan melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta.
**media[3708002]**
Jelas beliau, kes tersebut kini diberikan perhatian sewajarnya oleh pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, dan usaha menjejaki suspek sedang giat dijalankan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan.
"Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung insiden ini diminta supaya segera menyalurkannya kepada IPD Kuala Terengganu bagi membantu siasatan," katanya.





![[VIDEO] Polis buru dua lelaki samun kedai emas](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/IMG-20261112-WA0076-1-1024x571.jpg)