
Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen George Town atas pertuduhan menipu dan guna dokumen palsu bagi mengurangkan cukai import kosmetik.
GEORGE TOWN: Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini dalam dua kes berasingan membabitkan penipuan dan penggunaan dokumen palsu berkaitan pengisytiharan barangan import kosmetik milik sebuah syarikat.
Zul Akmal Ab Suhukor, 52, didakwa memperdaya pengurus syarikat kosmetik, iaitu seorang lelaki tempatan berumur 26 tahun dengan mendorong mangsa memindahkan wang RM13,000 ke akaun bank syarikat First Global Freight & Logistics miliknya.
Wang berkenaan kononnya sebagai bayaran kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi mengurangkan cukai barangan import kosmetik, dan kesalahan itu didakwa berlaku antara Ogos hingga September 2024 di sebuah pejabat di Menara Northam, Jalan Sultan Ahmad Shah di sini.
Pertuduhan mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 417 kanun sama, dengan hukuman penjara hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nurul Atikah Ab Rashid, yang menawarkan jaminan RM30,000 dengan syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai.
Bagaimanapun, peguam K. Mahendran yang dibantu M. Sharmila yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya bekerja sebagai pengurus pejabat dengan pendapatan RM2,500 sebulan, selain mempunyai tiga anak dan isteri yang tidak bekerja.
Hakim Irwan Suainbon kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Sementara itu, dalam kes berasingan di hadapan hakim yang sama, Sarudin Daud, 53, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu berkaitan pengisytiharan barangan import kosmetik syarikat berkenaan pada 12 Sept 2024 di lokasi yang sama.
Dia didakwa menggunakan dokumen palsu sebagai tulen, iaitu Borang Perisytiharan Barang-Barang Yang Diimport bertarikh 12 Sept 2024 dalam Sistem Maklumat Kastam JKDM yang mengandungi perisytiharan tidak benar sehingga menyebabkan jumlah cukai berkurangan daripada RM55,632.19 kepada RM25,850.15.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan Sarudin diikat jamin RM10,000 serta menyerahkan pasport selepas peguamnya, Mahendran memaklumkan tertuduh bekerja sebagai pegawai eksekutif dengan gaji RM1,800, mempunyai tiga anak dan merupakan penanggung utama keluarga.
Kedua-dua kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 14 Dis depan.





