
KUALA LUMPUR – Seorang pengarah syarikat katering didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan dokumen perjanjian sewa palsu membabitkan kuota pekerja asing bagi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 (Program RTK 2.0).
Hakim Muhammad Ilmami Ahmad menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Chua Keng Hiang, 73, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang didakwa ke atasnya.
Sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda itu, tertuduh boleh dipenjara selama enam bulan dan tertuduh jumlah denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, Keng Hiang didakwa telah secara tidak jujur menggunakan sebagai tulen satu dokumen iaitu Tenancy Agreement (perjanjian sewaan) antara Goh Leong Han, 65, dan PSSB Holdings (M) Sdn Bhd bertarikh 1 Julai 2021 yang mana tertuduh mempunyai sebab mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu.
Kesalahan itu dilakukan di Bahagian Pekerja Asing, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Jalan Sri Hartamas 1, Off Jalan Duta di sini pada 5 Julai 2023 yang didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen 465 Kanun yang sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan pemenjaraan boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding Timbalan Pendakwa Raya Noorhani Muhmmed Ayub memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat mengambil kira faktor kesalahan dilakukan berkait dengan keselamatan iaitu kemasukan warga asing ke dalam Malaysia.
“Satu hukuman berat menjadi isyarat kepada masayarakat agar tidak melakukan kesalahan sama,” kata Noorhani.
Bagaimanapun peguam Michelle Tan yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda ringan atas alasan anak guamnya merupakan warga emas yang menghidap pelbagai penyakit antaranya dementia peringkat awal, kanser prostat dan sakit jantung.
“Anak guam memohon maaf atas kesalahan yang dilakukan dan menyesali perbuatannya. Dia berjanji tidak akan mengulanginya di masa akan datang,” kata peguam itu.
Mengikut fakta kes, dokumen penyewaan palsu bagi sebuah premis milik Leong Han di Jalan Imbi, di sini, telah digunakan sebagai dokumen sokongan dalam permohonan kuota pekerja asing yang dikemukakan kepada JIM.
JIM yang mempercayai dokumen tersebut adalah tulen kemudiannya meluluskan kuota sebanyak enam orang pekerja asing tanpa izin (PATI) bagi sektor perkhidmatan kepada syarikat PSSB Holdings, Namun selepas semakan lanjut dilakukan mendapati dokumen itu adalah palsu.
Hasil siasatan mendapati Leong Han yang merupakan pemilik premis tersebut menafikan pernah menurunkan tandatangan atau membuat sebarang perjanjian sewa dengan syarikat milik tertuduh iaitu PSSB Holdings (M).- KOSMO! ONLINE
The post Pengarah syarikat guna dokumen palsu didenda RM10,000 appeared first on Kosmo Online.






