Bapa dipenjara 13 bulan tipu pembelian kereta

4 Nov 2026 • 3:59 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Bapa dipenjara 13 bulan tipu pembelian kereta

Kota Kinabalu: Seorang bapa berusia 42 tahun dijatuhi hukuman penjara 13 bulan selepas mengaku bersalah menipu seorang lelaki berhubung urusan pembelian kereta sehingga menyebabkan mangsa kerugian RM12,300.

Tertuduh Sang Fazar Bunjing Diamson bagaimanapun tidak dapat menahan sebak ketika merayu kepada Mahkamah Majistret supaya menjatuhkan hukuman ringan terhadapnya.

Ketika membuat rayuan Sang memberitahu mahkamah bahawa keluarganya berdepan kesulitan kewangan ketika pandemik Covid-19 selain bapanya jatuh sakit sebelum meninggal dunia dalam tempoh berkenaan.

Dia turut mengakui kesal atas perbuatannya dan berkata ketika dipenjarakan, dia tidak mampu membayar yuran tuisyen anak-anaknya.

“Saya memohon diberi satu lagi peluang untuk menunaikan tanggungjawab sebagai seorang bapa,” katanya.

Majistret Marilyn Kelvin memerintahkan hukuman penjara itu bermula 15 Ogos tahun ini iaitu tarikh tertuduh ditangkap semula.

Mengikut pertuduhan, tertuduh memperdaya mangsa supaya membeli sebuah kereta Proton Saga FLX sehingga menyebabkan lelaki itu menyerahkan wang tunai RM12,300 di Kampung Air pada 20 Mac 2022.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah diberitahu mangsa menemui iklan penjualan kereta berkenaan menerusi Facebook Marketplace sebelum menghubungi tertuduh yang menawarkan sebuah Proton Saga FLX automatik berwarna emas pada harga RM12,300.

Mangsa kemudian menandatangani perjanjian jual beli di hadapan seorang Jaksa Pendamai sebelum menyerahkan wang tunai berkenaan kepada tertuduh dan menerima kereta serta kad pendaftarannya.

Bagaimanapun beberapa hari kemudian dua lelaki menemui mangsa di Terminal Inanam termasuk seorang yang mendakwa dirinya pemilik kenderaan terbabit.

Mereka memaklumkan bahawa kereta berkenaan masih mempunyai tunggakan pinjaman dan perlu ditarik balik.

Pegawai pendakwa Inspektor Yusdi Basri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Mahkamah turut memerintahkan barang kes fizikal dikembalikan kepada pemiliknya yang sah oleh pihak pendakwaan selepas tamat tempoh rayuan 14 hari.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved