
Kota Kinabalu: Seorang lelaki warga Filipina berusia 26 tahun dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret pada Isnin selepas mengaku bersalah menyimpan barangan curi bernilai RM2,000.
Majistret Marilyn Kelvin menjatuhkan hukuman itu terhadap Aslam Kaisar selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikemukakan.
Aslam didapati menyimpan secara tidak jujur barangan curi berupa sebuah telefon bimbit dan jam tangan berjenama pada jam 6.20 petang, 15 Oktober lalu di sebuah rumah di Taman Penampang, Penampang.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan Aslam menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapannya dan dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman untuk tindakan lanjut berikutan dia tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.
Dalam mahkamah sama, seorang lelaki berusia 30 tahun turut dijatuhi hukuman penjara lapan bulan kerana menyimpan sebuah telefon bimbit curi.
Wan Adzuawanan Jasnan mengaku bersalah melakukan kesalahan itu pada jam 2.20 petang, 27 Oktober lalu di sebuah bilik sewa di Sinsuran.
Mahkamah memerintahkan Wan menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapannya manakala telefon bimbit berkenaan dikembalikan kepada pemilik sebenar.
Pegawai Pendakwa Inspektor Deanivo Sittin mengendalikan pendakwaan manakala peguam lantikan mahkamah, Carman Khoo mewakili Wan.






