
Kota Kinabalu: Dua lelaki warga Filipina yang dikenali sebagai Geng Gurun dipercayai terbabit dalam kegiatan menceroboh rumah dan mencuri barangan termasuk kediaman seorang ahli politik dijatuhi hukuman penjara masing-masing selama 43 dan 25 bulan atas pelbagai kesalahan.
Sahiron Redzgilul, 34, dan Mohd Khairul Eskam, 25, mengaku bersalah secara berasingan terhadap tiga pertuduhan masing-masing di hadapan Majistret Marilyn Kelvin.
Bagi pertuduhan pertama, Sahiron dijatuhi hukuman penjara 13 bulan kerana menyembunyikan sebuah peti besi curi milik ahli politik berkenaan secara sukarela pada jam 10.30 pagi, 21 September lalu di tepi jalan kawasan Suria Inanam.
Sahiron melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 414/34 Kanun Keseksaan bersama dua lagi rakan subahat yang masih bebas.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Sahiron dipenjara 10 bulan kerana memiliki tiga beg tangan berjenama yang dicuri daripada seorang wanita berusia 73 tahun pada jam 2 petang, 13 September lalu di kawasan parkir Lorong Indah Permai Shophouse.
Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh dijatuhi hukuman penjara tambahan 20 bulan kerana melupuskan sebuah jam tangan berjenama curi milik seorang lelaki berusia 46 tahun pada jam 6.10 pagi, 14 September lalu di sebuah rumah di Jalan 1C, KKIP Selatan.
Sementara itu Mohd Khairul bagi pertuduhan pertama dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan kerana membantu menyembunyikan sebuah pencetak resit dan laci wang tunai yang dicuri milik seorang lelaki berusia 43 tahun pada jam 3.45 petang, 26 September lalu di tepi jalan kawasan Skim Penempatan Semula Telipok.
Bagi pertuduhan kedua, dia dipenjara tujuh bulan kerana memecah masuk sebuah rumah dengan niat untuk mencuri pada jam 7 pagi, 3 Ogos lalu di Taman Wawasan Mahandoi, Penampang.
Mohd Khairul melakukan kesalahan itu bersama seorang lagi rakan subahat yang masih bebas.
Bagi pertuduhan ketiga, Mohd Khairul dijatuhi hukuman penjara tambahan sembilan bulan kerana menyembunyikan sebuah kamera berjenama curi milik seorang lelaki berusia 42 tahun secara tidak jujur pada jam 3.15 petang, 23 Oktober lalu di sebuah rumah di Kampung Warisan Inanam.
Mahkamah memerintahkan Sahiron dan Mohd Khairul menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan masing-masing serta dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut selepas selesai menjalani hukuman.
Timbalan Pendakwa Raya Ronnie Anthony mengendalikan pendakwaan manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.






