
SHAH ALAM, 18 SEPT: Polis menahan dua lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes seorang petugas Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang cedera selepas dipercayai dipukul di Taman Bukit Segar, Cheras, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata kedua-dua suspek berusia 28 dan 35 tahun ditahan sepasukan pegawai serta anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang sekitar jam 1.01 tengah hari tadi di Batu 9, Cheras.
Menurutnya, kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan keputusan ujian saringan narkotik mendapati mereka negatif dadah.
“Barang kes yang digunakan untuk mencederakan pengadu turut dirampas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron berkata polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 4.05 petang semalam.
Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 10.40 pagi ketika mangsa sedang menjalankan tugas membaca meter elektrik.
Menurutnya, pengadu yang ternampak rakan sekerja kemudian memanggil nama rakannya sebelum dikatakan dimarahi kerana membuat bising.
Keadaan itu membawa kepada perselisihan faham dan pergaduhan dengan dua suspek sehingga mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kepala, muka dan tangan selain patah sebatang gigi.
Mangsa kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat SM Norhafdzeli Ismail di talian 010-3755508 atau mana-mana balai polis berhampiran.






