
Dua lelaki berusia 19 dan 21 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan susulan rakaman dua kenderaan yang tular di media sosial ketika berada di kawasan Jambatan Putra, Putrajaya.
Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Putrajaya bertindak mengenal pasti individu serta kenderaan yang terlibat selepas rakaman berkenaan mencetuskan kebimbangan orang ramai.
Menerusi kenyataan IPD Putrajaya, hasil tindakan tersebut, kedua-dua kenderaan berkenaan turut disita bagi membantu siasatan.
Siasatan awal mendapati kedua-dua individu berada di lokasi berkenaan untuk berkumpul dan menghasilkan kandungan media sosial, bukannya bertujuan untuk berlumba.
Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati lelaki berusia 21 tahun yang memandu salah sebuah kenderaan tidak memiliki lesen memandu yang sah.
Selain itu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan yang dipandunya juga didapati telah tamat tempoh.
Kedua-dua individu turut dikenakan tindakan saman berkaitan pengubahsuaian kenderaan, manakala ujian saringan air kencing terhadap mereka didapati negatif.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Baca juga:
‘Tuduhan anjing liar milik datuk Haira berat’- Malaysia Animal Association
Dakwaan lelaki kahwin rahsia di Thailand tular- Dua lelaki ditahan, kereta disita selepas video tular di Jambatan Putra
Polis Putrajaya menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti pemanduan berbahaya, melulu atau yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
Terdahulu, tular rakaman berdurasi 25 saat di aplikasi Threads yang memaparkan dua kenderaan berada di Jambatan Putra, dipercayai sedang menguji kelajuan sehingga mengundang keresahan orang ramai.
Beberapa individu turut dilihat merakam aksi berkenaan dalam video tersebut.
Polis menasihatkan orang ramai khususnya golongan muda supaya tidak terpengaruh dengan budaya samseng jalanan, lumba haram atau melakukan aksi berbahaya semata-mata untuk menghasilkan kandungan media sosial.
“Orang ramai khususnya golongan muda dinasihatkan agar tidak terpengaruh dengan budaya samseng jalanan, lumba haram dan aksi berbahaya demi kandungan media sosial.
“Jangan cari viral. Cari selamat,” katanya.
The post Dua lelaki ditahan, kereta disita selepas video tular di Jambatan Putra appeared first on The Reporter.




![Siap Ada Elemen Pop-Up! Kanak-Kanak Kreatif Hasilkan Buku Skrap Interaktif Sempena Kemerdekaan Raih Pujian [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/09/buku-skrap-sembena-bulan-kemerdekaan_2.jpg?t=1789103787)

