
KENINGAU: Polis menahan dua lelaki selepas dipercayai terlibat dalam satu pergaduhan di luar premis 99 Speedmart di One Plaza Keningau baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Keningau Supt Yampil Garai berkata tangkapan dibuat susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa berusia 22 tahun pada jam 12.27 tengah malam, 21 Jun.
Kejadian dilaporkan berlaku antara jam 10.12 malam hingga 10.30 malam pada 20 Jun.
Menurut beliau ketika kejadian mangsa berada di pintu masuk kedai sebelum seorang lelaki turun dari premis hiburan di tingkat atas dan bertindak menendang pintu shutter kedai.
Pergaduhan kemudian tercetus apabila mangsa menegur tindakan lelaki berkenaan.
Akibat kejadian itu mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala, hidung dan muka.
Hasil siasatan polis membawa kepada penahanan dua lelaki masing-masing berusia 29 dan 18 tahun yang beralamat di Beaufort pada jam 6.38 petang, 21 Jun.
Kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam kejadian tersebut manakala seorang lagi suspek masih bebas dan sedang diburu polis.






