PUTRAJAYA – Aksi dua pemandu kenderaan yang dipercayai menguji kelajuan di Jambatan Putra di sini membawa padah apabila mereka ditahan polis selepas rakaman video tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, kedua-dua lelaki berusia 19 dan 21 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut.
“Hasil siasatan mendapati kedua-dua individu berkenaan berada di lokasi tersebut bagi tujuan berkumpul dan menghasilkan kandungan untuk dimuat naik ke media sosial serta bukan bertujuan untuk berlumba.
“Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu berusia 21 tahun tidak memiliki lesen memandu yang sah, manakala Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan yang dipandunya telah tamat tempoh,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, kedua-dua pemandu turut dikenakan tindakan saman atas kesalahan mengubah suai kenderaan.
"Ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua pemandu mendapati mereka negatif dadah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 81 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333)," katanya.
Dalam pada itu, Aidi Sham menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan sebarang aktiviti menguji kelajuan atau berlumba di jalan awam.
"Polis turut mengingatkan orang ramai agar tidak menghasilkan kandungan media sosial yang melibatkan aksi pemanduan yang boleh membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain," ujarnya.






