
KUALA LUMPUR: Sebanyak 11 laporan polis dibuat berhubung kejadian kenderaan dicakar di kawasan parkir berhampiran The Exchange TRX yang dipercayai dilakukan seorang lelaki warga asing, semalam.
Suspek berusia 34 tahun yang dipercayai gelandangan itu kemudian ditahan pada petang hari sama di kawasan berhampiran pusat beli-belah berkenaan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintenden Nuzulan Mohd Din berkata, polis menerima laporan daripada seorang pemilik kenderaan yang mendapati keretanya mengalami kerosakan selepas diparkir di kawasan berkenaan.
Katanya, pengadu meletakkan kenderaan di kawasan letak kereta sebelum memasuki TRX kira-kira pukul 9.30 pagi.
“Pengadu kemudian keluar dari kawasan berkenaan kira-kira pukul 12.15 tengah hari dan mendapati terdapat kesan calar pada bahagian bonet kenderaannya,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini.
Nuzulan berkata, hasil siasatan mendapati kenderaan berkenaan dipercayai dicalarkan suspek menggunakan objek tumpul, manakala kerugian bagi kenderaan terbabit dianggarkan kira-kira RM3,000.
“Setakat ini, polis menerima 11 laporan termasuk tiga laporan yang dibuat pihak pengurusan TRX.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental dan menggunakan objek tumpul untuk mencalar kenderaan yang diletakkan di kawasan parkir berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, suspek direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
“Suspek juga akan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani pemeriksaan mental,” katanya. – UTUSAN
The post Gelandangan warga asing calar kenderaan di TRX ditahan appeared first on Utusan Malaysia.






