
PUTRAJAYA, 10 Sept (Bernama) -- Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung rakaman aksi dua kereta dipercayai menguji kelajuan di Jambatan Putra, Putrajaya seperti yang tular menerusi media sosial baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Aidi Sham Mohamed berkata kedua-duanya yang berusia 19 dan 21 tahun ditahan kira-kira 4.30 petang hari ini.
“Hasil siasatan mendapati kedua-duanya berada di lokasi itu bagi tujuan berkumpul dan menghasilkan kandungan untuk dimuat naik ke media sosial serta bukan bertujuan untuk berlumba.
“Pemandu kereta berusia 21 tahun itu tidak memiliki lesen memandu sah, manakala Lesen Kenderaan Motor (LKM) kereta dipandunya telah tamat tempoh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kedua-duanya turut dikenakan tindakan saman atas kesalahan mengubah suai kenderaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 81 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) manakala Aidi Sham turut menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan sebarang aktiviti menguji kelajuan atau berlumba di jalan awam.
Baca juga:Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 25 saat memaparkan hantaran rakaman aksi dipercayai dua kereta sedang menguji kelajuan di lokasi Jambatan Putra.
-- BERNAMA






