
Kota Kinabalu: Seorang lelaki warga Filipina berusia 34 tahun dan seorang lagi lelaki yang dikaitkan dengan “Geng Gurun” masing-masing dijatuhi hukuman penjara 11 tahun serta empat kali sebatan rotan kerana menyamun barangan kepunyaan seorang remaja perempuan berusia 19 tahun bernilai RM105,000.
Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan menjatuhkan hukuman terhadap Sahiron Redzgilul, 34, dan Cyril John Paniah, 43, selepas kedua-duanya mengekalkan pengakuan bersalah pada Khamis.
Kedua-dua tertuduh melakukan samun berkumpulan itu bersama dua lagi yang masih bebas di sebuah rumah di Taman Austral, di sini, pada jam 6.45 pagi, 27 Ogos lalu.
Mereka melarikan beberapa barangan milik mangsa termasuk sebuah konsol permainan video hibrid, dua beg tangan dan sebuah dompet.
Kesalahan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Semasa mitigasi, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon agar mahkamah memberikan hukuman ringan dengan mengambil kira tanggungjawab masing-masing.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Shaferrah Mad Iskim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman pencegahan dengan mengambil kira keseriusan kesalahan dan kejadian jenayah seumpama itu yang semakin berleluasa.
Beliau berhujah bahawa kedua-dua tertuduh menggunakan pemutar skru untuk mengugut mangsa dan memaksanya menyerahkan barangan miliknya.
Mahkamah turut dimaklumkan bahawa mangsa mengalami trauma akibat kejadian itu selain menanggung kerugian berjumlah RM105,000.
Mengikut fakta kes, mangsa yang bersendirian di rumah sewanya terdengar bunyi bising sebelum mendapati empat lelaki tidak dikenali menceroboh masuk ke rumah berkenaan dan memasuki biliknya.
Seorang daripada lelaki itu, yang kemudian dikenal pasti sebagai Sahiron, mengacukan pemutar skru ke arah mangsa dan mengugutnya sebelum meminta mangsa menyerahkan wang kepada seorang lagi lelaki yang dikenal pasti sebagai Cyril.
Sementara itu, dua lagi rakan subahat mereka menggeledah rumah berkenaan dan mengambil barangan milik mangsa.
Keempat-empat lelaki itu kemudian melarikan diri dari tempat kejadian.
Susulan laporan polis, Sahiron dan Cyril ditahan pada 10 Oktober lalu.
Pergelutan berlaku antara kedua-dua tertuduh dan pihak polis ketika mereka cuba melarikan diri.




![[VIDEO] 10 tahun terpisah, dua sahabat ‘reunion’ tanpa sengaja dalam nahas](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/KERETA-NAHAS-TULAR-VIRAL-1024x555.jpeg)
