Dua lelaki tular lari di Wangsa Maju mengaku tidak salah halang polis

22 Oct 2026 • 3:36 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Dua lelaki tular lari di Wangsa Maju mengaku tidak salah halang polis

AMPANG – Dua lelaki yang tular selepas meloloskan diri daripada polis di Wangsa Maju dihadapkan ke mahkamah di sini hari ini atas enam tuduhan termasuk menghalang penjawat awam dan menggunakan nombor pendaftaran kenderaan palsu.

Tertuduh, Muhammad Putra Zulfaiz Zaidi, 32, dan Mohamad Danial Haiqal Kamal Arifin, 21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Siti Nur Ain Ariffin dan Tiong Wen Wen serta Hakim Norshila Kamarudin.

Di hadapan Siti Nur Ain, mereka didakwa menghalang tiga anggota polis iaitu Koperal Muhamad Azfar Abdul Rahman, Lans Koperal Muhammad Yashar Hassan dan Koperal Syisyi Pauzi dalam menjalankan tugas.

Mereka menghalang Muhamad Azfar dan Muhammad Yashar membuat pemeriksaan dengan cara melarikan diri menggunakan trak pikap Isuzu D-Max yang menggunakan nombor plat palsu di Jalan Wangsa, 1 dan Jalan Wangsa 5, Bukit Antarabangsa di sini pada pukul 5.30 pagi, 10 Oktober dan 11 pagi, 11 Oktober lalu.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

Sementara itu, di mahkamah sama, Muhammad Putra Zulfaiz turut mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan menggunakan nombor plat palsu dan memasukkan dadah dalam badan.

Bagi kesalahan menggunakan nombor plat palsu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) yang memperuntukkan denda RM5,000 hingga RM15,000.

Untuk kesalahan dadah, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di tandas Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Ampang Jaya pada pukul 10.45 malam, 11 Oktober.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun.

Di hadapan Majistret Wen Wen, mereka didakwa secara bersama sebagai pemandu Isuzu D-Max memandu secara berbahaya kepada orang awam di lokasi dan masa sama. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 42(1) APJ.

Pada masa sama, dua lelaki itu turut didakwa gagal memberi keterangan munasabah berkaitan pemilikan dua tali sling, (1) besi kunci, (1) spana boleh laras, (2) pemotong wayar, (2) sarung tangan, (2) batang tukul besi, (2) crowbar, (3) batang mata pahat dan sebatang besi.

Selain itu, Mohamad Danial Haiqal turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dadah sama seperti tertuduh Muhammad Putra Zulfaiz di tempat, masa dan tarikh serupa.

Di Mahkamah Sesyen, dua tertuduh mengaku tidak bersalah memiliki sebilah parang dan sabit tanpa sebarang tujuan pada pukul 11 pagi pada tarikh dan di lokasi sama.

Muhammad Putra Zulfaiz diwakili peguam Daneish Thayalan, manakala Mohamad Danial Haiqal diwakili Erni Ahmad.

Majistret Siti Nur Ain membenarkan Muhammad Putra Zulfaiz diikat jamin RM10,500, sementara Mohamad Danial diikat jami RM8,000. Hakim Norshila dan Majistret Wen Wen tidak membenarkan jaminan kerana penjamin tidak hadir pada prosiding hari ini.

Kesemua mahkamah menetapkan 26 November ini bagi sebutan semula kes.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa video memaparkan anggota polis dengan bantuan orang ramai mengejar kedua-dua suspek yang cuba melarikan diri selepas melanggar kenderaan awam.

Menerusi perkongsian di media sosial, kejadian itu menarik perhatian orang ramai apabila kenderaan terbabit dipercayai cuba melarikan diri daripada pihak polis sebelum berjaya ditahan. – KOSMO! ONLINE

The post Dua lelaki tular lari di Wangsa Maju mengaku tidak salah halang polis appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved