Dua maut, 16 cedera trak pasukan keselamatan diserang di Narathiwat

WorldPolitics
19 Sep 2026 • 9:44 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Dua maut, 16 cedera trak pasukan keselamatan diserang di Narathiwat

NARATHIWAT (THAILAND): Dua anggota pasukan keselamatan terbunuh manakala 16 lagi cedera termasuk enam parah selepas trak dinaiki mereka diserang hendap kumpulan pemisah di Kampung Baru Kayaing, Mukim Rom Sai, Sukhirin, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.50 petang itu, trak Kor Sukarelawan Pertahanan Daerah Sukhirin yang membawa 18 anggota terpelanting sebelum terbalik selepas sebuah bom buatan sendiri (IED) yang ditanam di bawah permukaan jalan meletup.

Jurucakap Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, dua anggota yang terbunuh ialah Prebet Irin Kaewrawang dan Prebet Nattanant Kaewsupothi.

Katanya, 16 anggota yang cedera ialah Sulaiman Nakwarin; Rudi Sawa; Samsu Dueramae; Prebet Adisorn Daengsri; Paisal Seethong; Anan Pui; Natthapong Wongwai; Chinawat Rattanapong; Manorom Puiruk; Alham Nangoh; Makoseng Kaji; Subhan Chehdulah; Amarin Khunthong; Suhan Dueh; Dullfata Saha; dan Amnan Suding.

“Siasatan awal mendapati semasa kejadian semua anggota berkenaan dalam perjalanan pulang ke pangkalan selepas menyertai pertandingan lumba perahu sempena Pesta Bandar Narathiwat.

“Sekumpulan penyerang dipercayai bersembunyi di kawasan hutan tebal berhampiran sebelum meletupkan IED yang ditanam di laluan berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Jurucakap itu berkata, penyerang kemudian melepaskan tembakan sebelum dibalas oleh anggota pertahanan dan kumpulan terbabit kemudian melarikan diri di dalam hutan tebal.

Katanya, siasatan turut menemukan kawah letupan sedalam kira-kira dua meter dan tiga meter lebar, selain serpihan peranti IED serta tong gas memasak seberat 50 kilogram bertaburan di atas jalan raya.

Jurucakap itu berkata, pihak berkuasa percaya serangan berkenaan dilakukan anggota kumpulan pemisah sebagai tindakan balas terhadap kematian dua rakan mereka dalam kejadian berbalas tembakan di sekitar banjaran Gunung Tawe, Daerah Rangae, pada 9 September lalu.

“Dalam kejadian itu, dua pakar pembuat IED kumpulan pemisah dikenali sebagai Useng Mama, 46, dan Useng Cheming, 37, terbunuh ketika bertempur dengan pasukan keselamatan Thailand,” katanya. – UTUSAN

The post Dua maut, 16 cedera trak pasukan keselamatan diserang di Narathiwat appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved