
PATTANI (THAILAND): Seorang anggota kumpulan pemisah yang dipercayai bersenjata api ditahan selepas bersembunyi di Pondok Darul Taqwa di sini semalam.
Suspek, berusia 20-an, menyerah diri kira-kira sejam selepas pasukan operasi khas polis dan tentera mengepung kawasan itu pada pukul 5 pagi.
Jurucakap Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, bertindak atas maklumat pihak berkuasa telah menghubungi penjaga pusat pengajian dan pemimpin masyarakat untuk memaklumkan perkara tersebut.
Katanya, ia bertujuan memastikan keselamatan puluhan pelajar dan individu lain di kawasan berkenaan.
“Pasukan keselamatan bersama pemimpin masyarakat dan guru agama kemudian mengadakan rundingan bagi meminta suspek menyerah diri.
“Rundingan itu dilaksanakan secara aman dengan mematuhi prosedur, prinsip kemanusiaan serta menghormati hak asasi manusia dan maruah suspek,” katanya ketika dihubungi.
Jurucakap itu memberitahu, suspek kemudiannya tampil menyerah diri kira-kira sejam selepas rundingan dimulakan dan memaklumkan kepada pihak berkuasa bahawa dia memiliki sepucuk pistol.
“Pasukan keselamatan turut memanggil pihak pengurusan pusat pengajian berkenaan dan beberapa pelajar untuk soal siasat selepas mendapati suspek telah lama tinggal di pondok tersebut,” ujarnya. –UTUSAN
The post Anggota pemisah ditahan, sembunyi di pondok agama appeared first on Utusan Malaysia.





