
GUA MUSANG – Sebuah trak pikap dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh sebuah rumah di Jalan Kampung Kerinting, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.55 petang itu, seorang penunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda berusia 53 tahun cedera ringan pada kaki kiri selepas dilanggar kenderaan terbabit.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, trak pikap itu dipandu seorang lelaki berusia 34 tahun dari arah Cameron Highlands, Pahang menuju ke Kota Bharu.
Katanya, ketika tiba di lokasi kejadian, kenderaan terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar penunggang motosikal yang sedang berhenti di bahu kiri jalan.
“Pelanggaran itu menyebabkan trak pikap terbabit terbabas lalu merempuh sebuah rumah di kiri jalan.
“Penunggang motosikal itu mengalami kecederaan ringan pada kaki kiri dan masih menerima rawatan di Hospital Gua Musang,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.
Menurut Choon Foo, kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana gagal mengawal kenderaan dan siasatan lanjut masih dijalankan. – KOSMO! ONLINE
The post Ford Ranger rempuh rumah, penunggang motosikal cedera appeared first on Kosmo Digital.






