
GEORGE TOWN : Dua maut selepas motosikal yang mereka naiki dirempuh oleh sebuah kenderaan di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu berhampiran susur ke Jambatan Pulau Pinang, awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 4 pagi ketika kedua-dua mangsa iaitu seorang lelaki dan wanita; masing-masing berusia 22 dan 20 tahun dalam perjalanan dari arah pusat bandar George Town menghala ke arah jambatan berkenaan.
“Siasatan awal mendapati, motosikal yang mereka naiki dipercayai telah dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti di susur bercabang ke Jambatan Pulau Pinang dan Universiti Sains Malaysia (USM).
“Susulan kemalangan itu, kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah. Mayat mereka juga telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat,” katanya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Rozak berkata, pihak polis kini sedang mengesan pemandu kenderaan yang dipercayai terbabit dalam kemalangan itu kerana melarikan diri dari tempat kejadian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta supaya tampil untuk membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Shahidatul Alyaa Nordin menerusi talian 019-6886106,” katanya.-UTUSAN
The post Dua maut dalam kejadian langgar lari appeared first on Utusan Malaysia.





