Pemandu SUV langgar dua rakan hingga maut sudah ditahan

22 Oct 2026 • 4:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pemandu SUV langgar dua rakan hingga maut sudah ditahan
Dua rakan maut dalam kemalangan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, berhampiran susur Jambatan Pulau Pinang.

GEORGE TOWN - Pemandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang disyaki terlibat dalam kemalangan maut mengorbankan dua rakan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, berhampiran susur Jambatan Pulau Pinang, di sini menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, lelaki tempatan berusia 23 tahun yang berasal dari Bukit Jambul itu ditahan kira-kira jam 1 tengah hari selepas hadir menyerah diri.

Menurutnya, ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati negatif dadah.

“Suspek akan direman pada esok (23 Oktober) bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Terdahulu, Mohamad Nazhif Faris Mohd Fauzi, 22, bersama rakan wanitanya maut selepas motosikal dinaiki mereka dilanggar sebuah kenderaan dari arah belakang di lokasi berkenaan.

Kedua-dua mangsa yang berasal dari Padang Serai, Kedah itu meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu kenderaan terbabit dipercayai melarikan diri.

Abdul Rozak berkata, hasil bedah siasat mendapati penunggang motosikal lelaki maut akibat kecederaan parah di kepala dan leher susulan kemalangan jalan raya.

"Pembonceng motosikal wanita pula disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dalam kejadian berkenaan.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan dan keadaan yang membawa kepada kejadian itu," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved