KUALA LUMPUR, 5 NOV: Dua lelaki maut selepas kenderaan dinaiki merempuh pembahagi lorong tol dalam kejadian di Plaza Tol Sungai Besi menghala ke Seremban, dekat sini, awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar dalam kenyataan hari ini berkata kedua-dua lelaki berusia 65 tahun itu, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
“Sepasukan tujuh anggota dan pegawai bersama jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Kembangan dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada 3.42 pagi.
“Kemalangan membabitkan kereta jenis Honda CRV itu, menyebabkan dua mangsa tersepit di bahagian hadapan kenderaan,” katanya.
Beliau berkata mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
– BERNAMA
The post Dua maut, kereta dinaiki rempuh pembahagi lorong tol appeared first on Selangorkini.



