Dua maut, lima cedera nahas dua kenderaan

12 Oct 2026 • 7:53 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dua maut, lima cedera nahas dua kenderaan
Dua individu maut manakala lima cedera dalam kemalangan di Jalan Penyajak U1/45B, Hicom-Glenmarie Industrial Park, Shah Alam pada awal pagi Isnin.

PETALING JAYA – [DIKEMAS KINI] Dua lelaki maut manakala lima individu lain cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Kilometer 18.2 menghala Kuala Lumpur, di sini pada Isnin.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.27 tengah malam.

"Seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya serta BBP Bukit Jelutong dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Jentera bomba tiba di lokasi pada jam 12.44 tengah malam dan operasi berjaya dikawal pada jam 1.05 pagi," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah Proton Wira Aeroback yang nombor pendaftarannya tidak dapat dikenal pasti dan sebuah Proton Exora.

Katanya, Proton Wira Aeroback dinaiki empat lelaki, termasuk dua mangsa berusia 20 tahun yang disahkan meninggal dunia manakala dua lagi lelaki berusia 19 tahun mengalami kecederaan ringan.

"Proton Exora pula dinaiki tiga individu iaitu seorang wanita berusia 29 tahun, seorang lelaki berusia 27 tahun dan seorang lelaki berusia 28 tahun.

"Ketiga-tiga mereka turut mengalami kecederaan ringan dalam kejadian itu, semua mangsa diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurutnya, operasi berkenaan membabitkan sebuah jentera FRT dari BBP Subang Jaya serta sebuah jentera FRT dan sebuah jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dari BBP Bukit Jelutong.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved