

ISKANDAR PUTERI – Belum reda kebimbangan berhubung kes kanak-kanak berusia dua tahun diserang anjing di Batu Pahat, seorang lagi budak lelaki dilaporkan parah selepas diserang lapan ekor haiwan sama di Lima Kedai di sini, petang tadi.
Mangsa yang berusia tujuh tahun diserang ketika bermain di taman permainan berhampiran flat kos rendah di kawasan tersebut pada pukul 3 petang.
Mangsa yang mengalami kecederaan pada mata, leher, kepala dan badan dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad berkata, kejadian itu amat membimbangkan dan tindakan segera perlu diambil pihak berkuasa bagi menangani masalah anjing liar yang mengancam keselamatan penduduk.
Menurutnya, langkah berkesan perlu dilaksanakan bagi mengelak kejadian sama berulang, terutama membabitkan kanak-kanak yang menggunakan kemudahan awam di kawasan perumahan.
Difahamkan, kejadian itu bukan insiden pertama di lokasi berkenaan apabila seorang remaja lelaki berusia 18 tahun berdepan situasi sama kira-kira pukul 6 pagi tadi.
Remaja itu dikatakan sedang membeli barangan di sebuah kedai runcit berhampiran sebelum terserempak dengan lapan anjing liar tersebut.
Bagaimanapun, remaja itu berjaya menghalau haiwan tersebut tanpa sebarang kecederaan.
Pandak turut melawat mangsa dan berharap pihak berwajib dapat mengambil tindakan sewajarnya dengan segera bagi memastikan keselamatan penduduk di Lima Kedai terus terpelihara.
Dalam kejadian berasingan pada 5 September lalu, seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun parah selepas diserang lima ekor anjing dalam kejadian di Kampung Tambak, Peserai, Batu Pahat.
Mangsa, Nur Khaira Wafiqah, cedera di kepala, pipi dan badan selepas diserang haiwan liar berkenaan.-KOSMO! ONLINE
The post Lagi kanak-kanak parah digigit anjing liar appeared first on Kosmo Online.






