
IPOH: Seorang wanita maut manakala suaminya cedera selepas motosikal ditunggang mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 286.5, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, maklumat berkaitan nahas membabitkan motosikal Honda ADV160 dengan kereta jenis Gen2 dan kereta jenis Lexus itu diterima pada pukul 12.30 tengah hari.
Katanya, siasatan awal mendapati Proton Gen2 yang mengalami kerosakan berhenti di lorong kecemasan sebelum motosikal dinaiki pasangan berusia 55 tahun itu dipercayai melanggar bahagian belakang sebelah kanan kereta berkenaan.
“Akibat pelanggaran itu, motosikal berkenaan hilang kawalan sebelum terbabas ke lorong kanan.
“Sebuah kereta Lexus yang datang dari arah belakang dan bergerak sehala kemudian dipercayai melanggar bahagian belakang sebelah kanan motosikal itu menyebabkan penunggang dan pembonceng tercampak ke atas jalan raya,” katanya.
Menurut beliau, akibat kemalangan itu, pembonceng dan penunggang motosikal cedera sebelum wanita terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas paramedik.
Katanya, suami mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk mendapatkan rawatan.
“Pemandu Proton Gen2 iaitu seorang lelaki berusia 53 tahun dan pemandu Lexus, wanita berusia 41 tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan,” katanya.
Tambah beliau, orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai rakaman kamera papan pemuka diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-2451500 bagi membantu siasatan. – UTUSAN
The post Isteri maut, suami cedera nahas tiga kenderaan appeared first on Utusan Malaysia.






