
PETALING JAYA – Seramai 20 warga asing ditahan dalam serbuan Jabatan Imigresen (JIM) di empat unit kediaman di Jalan San Peng, Pudu, di sini semalam.
Mereka terdiri daripada lima lelaki Taiwan, empat lelaki China, empat lelaki India, empat lelaki Thailand, dua wanita Thailand dan seorang wanita India berusia 23 hingga 43 tahun.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi pada pukul 11.45 pagi itu dijalankan selepas risikan selama dua minggu.
Menurutnya, sindiket dipercayai menjalankan penipuan pelaburan dengan menyasarkan mangsa di Thailand, India, Taiwan dan Jepun sejak sebulan lalu.
“Pekerja warga asing terbabit tidak dibenarkan keluar secara bebas, manakala bekalan makanan dihantar dari luar melalui perkhidmatan penghantaran makanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, sindiket dipercayai beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 8 malam dengan menjadikan kediaman mewah yang disewa sebagai pusat kegiatan.
“Antara rampasan ialah 45 telefon bimbit, lapan komputer meja, tiga komputer riba, lima router, empat walkie-talkie, skrip penipuan, kad akses dan pelbagai ubat-ubatan.
“Turut disita ialah pasport Taiwan, China dan Thailand, wang tunai RM5,370 serta mata wang asing Myanmar, Kemboja, Vietnam dan Taiwan,” katanya.
Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d), Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – KOSMO! ONLINE
The post Dua minggu risik, rumah mewah sarang scammer di Pudu diserbu appeared first on Kosmo Online.





