Dua minggu yang terasa paling lama

LocalPolitics
3 Aug 2026 • 10:25 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Dua minggu yang terasa paling lama

Dua minggu yang lalu merupakan tempoh yang cukup panjang dan mendebarkan buat kami sebagai penggerak jentera parti. Setiap detik terasa begitu berharga, setiap saat dilalui dengan penuh debaran.

Masa seakan bergerak perlahan kerana kami sedar akan setiap usaha yang dicurahkan mampu menentukan sebuah kemenangan.

Setelah kempen mengungkit kisah lama di Johor gagal memberikan keputusan seperti yang diimpikan, pihak lawan meneruskan strategi sama di Negeri Sembilan. Kali ini, isu Tabung Haji pula dijadikan modal politik dalam usaha meraih sokongan dan undi masyarakat Islam.

Mereka menggunakan setiap pentas untuk mengulangi skrip dan naratif yang sama; ayatnya hampir serupa di mana-mana, tanpa mengira tempat dan khalayak, hatta ketika berucap di hadapan murid sekolah sekalipun.

Kempen Merah dibanjiri bendera serta pentas serba merah yang mewah, lengkap dengan marquee tent dan skrin LED, mereka mengharapkan kempen itu mampu membangkitkan keterujaan penyokong. Namun, kemewahan tersebut gagal menyentuh jiwa.

Sebaliknya, timbul persoalan sinis dalam hati: “Di atas pentas, bukan main melaungkan ‘sakau, sakau’ tetapi dari mana pula datangnya segala kemewahan ini?”

Memasuki minggu kedua dan fasa terakhir kempen, kepanikan jelas terpancar dalam gerak kerja kempen Merah. Demi mengejar sokongan di saat akhir, mereka dilihat sanggup melanggar segala peraturan yang telah ditetapkan.

Ramai penyokong Biru mendakwa bahan kempen mereka telah disekat, malah beberapa akaun media sosial peribadi turut dihadkan daripada bersiaran kepada pengguna di Malaysia.

Sekiranya benar sekatan ini dibuat atas permintaan MCMC atau mana-mana pihak kerajaan, penjelasan terbuka perlu diberikan; siapa yang mengarahkan, atas alasan apa, dan berdasarkan peruntukan undang-undang yang mana?

Bagi anggota beruniform, dakwaan pemberian wang antara RM300 hingga RM500 dengan syarat perlu “berakad” bukanlah penghargaan, sebaliknya satu penghinaan terhadap maruah uniform yang mereka sarungkan.

Benar, pihak berkuasa mungkin boleh menggunakan pangkat untuk mengarah atau memindahkan anggota, tetapi tindakan yang tidak menghormati maruah mereka akhirnya menyebabkan “pelaburan” politik Merah gagal membuahkan hasil.

Bagi Biru, semua ini hanyalah dugaan sepanjang berkempen. Apabila pihak yang berkuasa didakwa menggunakan segala kelebihan; daripada tekanan dan ugutan hinggalah kemewahan serta wang yang bertaburan, ia sedikit pun tidak melumpuhkan semangat jentera Biru untuk terus bekerja, berjuang dan menyampaikan suara rakyat.

Dalam tiga hari terakhir kempen, komuniti OA pula menjadi sasaran. Mereka seolah-olah dipandang sebagai kelompok yang mudah dipengaruhi dengan wang saku dan hamper berwarna merah yang dilonggokkan di setiap kawasan.

Bantuan dibawa berlori-lori dengan harapan dapat membeli sokongan namun akhirnya, harapan itu tinggal harapan.

Akhirnya, pelbagai video tersebar memperlihatkan para pengundi dikumpulkan dan dihulurkan “sumbangan ikhlas” dan diterima dengan hati yang terbuka.

Akhir, video bersepah menunjukkan berkumpulnya pengundi, mereka menerima dengan hati terbuka, namun dalam hati, “Semua Ketua Gangster, kenapa gunakan duit kotor untuk beri pada kami”.

Rakyat bukan bodoh dan maruah rakyat bukan untuk dijual beli.

Alhamdulillah, Biru menang dengan bergaya.

Razlan Rafii

Ahli Majlis Tertinggi UMNO

The post Dua minggu yang terasa paling lama appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved