Pemandu trak pikap mengaku tidak salah pandu melulu sebabkan 3 termasuk doktor maut

3 Aug 2026 • 11:21 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pemandu trak pikap mengaku tidak salah pandu melulu sebabkan 3 termasuk doktor maut

PEKAN – Pemandu trak pikap yang terlibat dalam nahas mengorbankan tiga mangsa termasuk doktor dan pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dua minggu lalu akhirnya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh, Syed Muhammad Izzat Aiman Syed Ahmad, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Melody Woon Sze Mun.

Pemuda itu yang memandu trak pikap jenis Isuzu Dmax di Kilometer (KM) 67, Jalan Kuantan-Segamat didakwa memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian Mohamad Zekry Zuhairy Mohd Atan, 33, Dhea Sofia Mohamad Zekry Zuhairy, 2, dan Azaharuddin Mohd Ali, 46.

Kesalahan dilakukan kira-kira pukul 5.30 petang pada 19 Jun lalu.

Tertuduh didakwa mehgikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan denda maksimum RM50,0000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Khamisah Ismail, manakala tertuduh diwakili peguam Muhamad Izwan Ishak.

Dalam prosiding berkenaan, Khamisah mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin selain lesen tertuduh digantung sehingga perbicaraan kes selesai.

Bagaimanapun Muhamad Izwan merayu wang jaminan dikurangkan kerana anak guamnya bekerja sebagai juruteknik dengan gaji RM1,500 sebulan serta menanggung isteri yang mengandung tiga bulan.

Sze Mun menetapkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai. Tertuduh juga perlu melapor diri di Balai Polis Muadzam Shah setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 18 September ini bagi sebutan semula kes termasuk serahan dokumen.

Baru-baru ini Kosmo! melaporkan tiga individu termasuk seorang doktor di Hospital Segamat dan anaknya maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di KM 67 Jalan Kuantan-Segamat.

Mangsa yang meninggal dunia ialah pemandu kereta Honda Civic, Mohamad Zekry Zuhairy Mohd. Atan dan anaknya, Dhea Sofia yang berada di tempat duduk belakang serta pemandu kenderaan pelbagai guna Toyota Alphard yang juga pegawai LHDN, Azaharuddin Mohd Ali, 46.

Siasatan awal polis mendapati trak pikap yang bergerak dari arah Kuantan menghala ke Muadzam Shah dipercayai cuba memotong lori dan melanggar lopak air lalu sebelum hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan. – KOSMO! ONLINE

The post Pemandu trak pikap mengaku tidak salah pandu melulu sebabkan 3 termasuk doktor maut appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved