
Tuaran: Kerajaan Persekutuan dijangka memuktamadkan keputusan berhubung cadangan penambahbaikan pelaksanaan Program Budi Diesel bagi Sabah dalam tempoh dua hingga tiga minggu selepas meneliti rayuan dan maklum balas yang dikemukakan Kerajaan Negeri.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata Jawatankuasa Khas Kerajaan Negeri telah mengemukakan secara rasmi semua cadangan penambahbaikan yang diterima daripada kementerian, jabatan, agensi, pemain industri dan masyarakat kepada Kementerian Kewangan.
Beliau berkata cadangan berkenaan turut dibentangkan dalam Mesyuarat Kabinet Negeri sebelum diserahkan kepada Kementerian Kewangan untuk penelitian lanjut.
“Kementerian Kewangan memohon tempoh kira-kira dua hingga tiga minggu bagi meneliti semua rayuan dan cadangan penambahbaikan Budi Diesel khusus untuk Sabah sebelum membuat keputusan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke beberapa projek di bawah Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (Maffi) di sini, pada Khamis.
Jamawi berharap penelitian itu mengambil kira keperluan sebenar rakyat Sabah, khususnya golongan yang bergantung kepada penggunaan diesel bagi aktiviti pertanian, perikanan dan sektor berkaitan.
Lawatan kerja itu melibatkan Pusat Semaian Anak Benih Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS), Pusat Latihan, Pusat Ternakan dan Kolam Pancing Ko-Nelayan di Kampung Laya-Laya, Pusat Pembenihan Ikan Marin Jabatan Perikanan serta Pusat Ternakan Ikan Dalam Sangkar milik Ko-Nelayan di Kampung Terayong.
Mengulas lawatan itu, Jamawi berkata beliau berpuas hati dengan kemajuan projek dan program yang dilaksanakan oleh jabatan serta agensi di bawah kementeriannya.
Katanya, usaha berterusan itu membuktikan Sabah berada di landasan yang tepat dalam memperkukuh sektor pertanian, perikanan, penternakan dan industri makanan bagi menjamin bekalan makanan negeri.
“Situasi di Asia Barat yang masih tidak menentu mengingatkan kita tentang pentingnya memperkukuh keselamatan makanan serta meningkatkan pengeluaran hasil perikanan dan sumber laut yang mampu diusahakan oleh nelayan tempatan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada warga Maffi serta jabatan dan agensi di bawah kementerian itu atas komitmen mereka dalam memperkasa sektor pertanian, perikanan, penternakan dan industri makanan di Sabah.
Dalam perkembangan lain, Jamawi berkata Kerajaan Negeri sedang memuktamadkan Dasar Pertanian Negeri Sabah 2026-2030 yang dijadual dilancarkan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor sempena sambutan Hari Penternak, Peladang dan Nelayan di Tenom pada Oktober depan.
Katanya, dasar itu akan menjadi dokumen utama yang menentukan hala tuju pembangunan sektor pertanian, penternakan, perikanan, industri makanan dan industri getah Sabah bagi tempoh lima tahun akan datang.
Selepas lawatan kerja itu, beliau menghadiri Majlis Sanjungan Budi bagi meraikan mantan Setiausaha Tetap Maffi, Datuk Jumain Abdul Ghani, yang akan meneruskan perkhidmatannya di Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP).
Turut hadir Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan I Datuk Ruslan Muharam, Pembantu Menteri II Datuk Hendrus Anding, Setiausaha Tetap Maffi Datuk Ts. Jifrin Mohamad, timbalan setiausaha tetap, ketua jabatan serta pegawai kanan kementerian.



![[TAK RASMI] BN, PN dapat majoriti dua per tiga, bakal bentuk kerajaan](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/BN-PN-PRN-NEGERI-SEMBILAN-1024x768.jpeg)


