
ROMPIN – Dua pekerja pusat cuci kereta maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan merempuh sebatang pokok di Kilometer 134 Jalan Kuantan-Johor Bahru di sini semalam.
Mangsa yang maut ialah pemandu kereta, R. Vijay, 27, dan penumpang belakang kereta, P. Vijayan, 17, yang merupakan anak saudara kepada pemandu.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, kejadian kira-kira pukul 7.30 petang itu berlaku ketika mangsa yang menaiki kereta jenis Proton Iswara dalam perjalanan dari arah Rompin menghala ke Kuantan.
“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta dipandu mangsa yang sedang bergerak lurus telah hilang kawalan dah terlanggar sebuah pokok di bahu jalan sebelah kiri menghala ke Kuantan.
“Akibat daripada kemalangan tersebut penumpang belakang meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Rompin,”katanya di sini hari ini.
Menurut Sharif Shai, mayat mangsa dibawa ke Hospital Rompin untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Katanya berdasarkan siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah jalan lurus dengan permukaan jalan rata dan kering.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu kereta yang cuai ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan berlaku,”ujarnya.- KOSMO! ONLINE
The post Dua pekerja pusat cuci kereta maut rempuh pokok appeared first on Kosmo Online.






