TELUPID - Empat dilaporkan maut selepas kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori dalam kejadian di Kampung Gambaron di sini pada Rabu.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, identiti kesemua mangsa masih belum dikenal pasti.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Nurazlan Shah Jamaluddin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.28 pagi.
Menurutnya, seramai lima anggota dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 93 kilometer dari BBP Beluran.
"Sebaik tiba di lokasi, kemalangan melibatkan dua kenderaan iaitu lori jenis Isuzu dan Proton Saga BLM yang bertembung dari arah bertentangan.
"Terdapat empat mangsa di dalam Proton Saga BLM yang berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba, polis dan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan," katanya dalam kenyataan.
**media[3641309]**
Nurazlan Shah berkata, maklumat berkaitan identiti mangsa masih belum diperoleh.
"Kesemua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Pemandu lori mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan awal daripada pasukan perubatan sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Telupid," katanya.
Beliau turut memaklumkan, tiada liputan Government Integrated Radio Network (GIRN) dan liputan telefon di lokasi kejadian.
"Setelah memastikan tiada bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan pada jam 9.58 pagi," katanya.






