
PARIT – Dua pelajar lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan rakan mereka menggunakan seterika dalam kejadian di sebuah maahad tahfiz, minggu lalu.
Tertuduh masing-masing berusia 14 dan 13 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurul Izalina Rajaai.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap pelajar lelaki berusia 13 tahun menggunakan seterika di sebuah maahad tahfiz di Chopin Kanan, Parit pada pukul 4 petang, 19 September lalu.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau dengan sebatan atau dua daripada hukuman itu, jika disabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R. Jayasri manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Nadrah Badarudin.
Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM500 setiap seorang dan menetapkan 27 Oktober depan untuk sebutan semula kes.
Difahamkan, tangkapan terhadap kedua-dua pelajar itu dibuat susulan laporan polis oleh seorang doktor di sebuah klinik swasta pada Isnin lalu yang memaklumkan telah merawat mangsa yang mengalami kecederaan melecur tahap kedua pada bahagian dada.
Berdasarkan keterangan mangsa, dua rakannya didakwa telah menekan seterika pada bahagian dadanya sehingga menyebabkan kecederaan berkenaan. – KOSMO! ONLINE
The post Dua pelajar tidak mengaku cederakan rakan guna seterika appeared first on Kosmo Online.






