
TAWAU: Seorang pegawai dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah pada Khamis masing-masing membabitkan tiga pertuduhan berkaitan tuntutan elaun penugasan rondaan keselamatan dan pemantauan bencana berjumlah RM29,440.
Tertuduh Mohamad Ihsan Said, 42, yang merupakan Pegawai Rela Daerah Lahad Datu dan Radzmil Saadan, 38, seorang anggota Rela di daerah sama membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca secara berasingan di hadapan Hakim Andi Razalijaya A Dadi.
Mohamad Ihsan berdepan tiga pertuduhan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja memberikan kepada seorang ejen iaitu Pembantu Pegawai Pertahanan Awam satu dokumen (Lampiran M) iaitu Rumusan Tuntutan Elaun Penugasan Daerah Lahad Datu Negeri Sabah yang mengandungi butiran matan palsu berkaitan tuntutan elaun penugasan rondaan keselamatan dan pemantauan bencana semasa Monsun Timur Laut bagi November 2022.
Tuntutan itu berhubung jumlah jam bertugas yang dituntut adalah lebih daripada jumlah jam bertugas dilaksanakan membabitkan RM9,600 yang didakwa diketahui tertuduh dimaksudkan untuk mengelirukan prinsipalnya.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama masing-masing pada Januari dan Februari 2023 berkaitan tuntutan bagi Disember 2022 dan Januari 2023 yang kedua-duanya membabitkan jumlah RM9,920.
Sementara itu Radzmil berdepan tiga pertuduhan bersubahat bersama Mohamad Ihsan dengan menyemak borang tuntutan elaun penugasan rondaan keselamatan berkenaan pada masa dan tarikh yang sama.
Kesemua pertuduhan terhadap Radzmil mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dan dibaca bersama Seksyen 18 akta sama serta boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama.
Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butiran matan yang palsu atau silap itu jika dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Mahkamah menetapkan 23 Oktober depan untuk sebutan semula kes manakala perbicaraan ditetapkan pada 19 hingga 20 November 2026. Mahkamah juga membenarkan kedua-dua tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 dengan deposit RM3,000 kepada mahkamah serta seorang penjamin tempatan yang mempunyai pekerjaan dan alamat tetap di Tawau.
Selain itu mahkamah turut membenarkan syarat-syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah, melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali serta dilarang mendekati atau mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Terdahulu Pegawai Pendakwa SPRM Norsham Saharom mencadangkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh yang dilihat wajar serta tidak berlebihan memandangkan jumlah keseluruhan kes membabitkan RM29,440.
Sebelum itu peguam Nur Hafizah Husna Elahab@Lahab yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jumlah jaminan lebih rendah memandangkan anak guamnya penjawat awam yang sudah berkhidmat 13 hingga 18 tahun, mempunyai tanggungan empat dan dua anak selain mereka memberikan kerjasama penuh kepada SPRM semasa proses siasatan.






