Dua pelajar tidak mengaku cederakan rakan guna seterika

25 Sep 2026 • 12:02 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Dua pelajar tidak mengaku cederakan rakan guna seterika

PARIT: Dua pelajar lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan rakan mereka menggunakan seterika dalam kejadian di sebuah maahad tahfiz, minggu lalu.

Tertuduh masing-masing berusia 14 dan 13 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurul Izalina Rajaai.

Mengikut pertuduhan, dua pelajar berkenaan didakwa secara bersama dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan terhadap seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun, menggunakan senjata yang boleh menyebabkan kematian iaitu sebuah seterika.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah maahad tahfiz di Chopin Kanan, Parit dalam daerah Perak Tengah pada pukul 4 petang, 19 September lalu.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau dengan sebatan atau dua daripada hukuman itu, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R. Jayasri manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Nadrah Badarudin.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM500 setiap seorang dan menetapkan 27 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Difahamkan, tangkapan terhadap kedua-dua pelajar itu dibuat susulan laporan polis oleh seorang doktor di sebuah klinik swasta pada Isnin lalu yang memaklumkan telah merawat mangsa yang mengalami kecederaan melecur tahap kedua pada bahagian dada.

Berdasarkan keterangan mangsa, dua rakannya didakwa telah menekan seterika pada bahagian dadanya sehingga menyebabkan kecederaan berkenaan. – UTUSAN

The post Dua pelajar tidak mengaku cederakan rakan guna seterika appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved