
SHAH ALAM: Dua pemuda menemui ajal selepas Proton Wira Aeroback yang dinaiki bersama dua lagi rakannya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah Proton Exora dekat Kilometer (KM) 18.2 Lebuhraya Persekutuan menghala Ke Kuala Lumpur di sini, tengah malam tadi.
Mangsa adalah Allahyarham Muhammad Firdaus Md. Rasid dan Allahyarham Irwan Shah Rosban masing-masing berusia 20 tahun yang disahkan meninggal dunia ditempat kejadian oleh pegawai perubatan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, sementara dua lagi rakan masing-masing berusia 19 tahun yang menaiki kereta sama mengalami kecederaan.
“Komander operasi melaporkan kemalangan melibatkan dua buah kereta yang berpunca apabila Proton Wira berkenaan melanggar pembahagi jalan menyebabkan pemandunya tercampak keluar sebelum dirempuh oleh Proton Exora.
“Sementara tiga lagi mangsa yang menaiki Proton Exora iaitu seorang wanita dan dua lelaki berusia 27 hingga 29 tahun tidak mengalami kecederaan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambahnya, mangsa yang cedera kemudian dihantar ke PPUM sementara mangsa meninggal dunia pula diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, Ashrul Riezal memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.27 tengah malam tadi dan menggerakkan sepasukan 14 termasuk pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya dan Bukit Jelutong bersama dua Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS). – UTUSAN
The post Dua pemuda maut, seorang daripadanya dirempuh appeared first on Utusan Malaysia.

![[KEMASKINI] Dua mangsa maut nahas Wira, Exora dikenal pasti](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/3cf87546-ac37-4c54-a72c-10da5a171570.jpeg)



