
SHAH ALAM, 23 SEPT: Dua pengarah Mandiri Centre Sdn Bhd ditahan semalam bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram.
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata kedua-dua individu daripada badan bukan kerajaan (NGO) itu ditahan di Pejabat Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram, Jalan Tun Razak pada jam 3.53 petang.
Menurutnya, Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram, Urus Setia Pejabat Ketua Polis Negara, Bukit Aman membuka satu kertas siasatan berhubung kes berkenaan pada 10 September lalu.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).
Kertas siasatan itu dibuka susulan satu laporan polis berdasarkan hasil semakan terhadap Mandiri Centre.
Semakan berkenaan membabitkan penerimaan dana yang disyaki hasil daripada aktiviti haram bagi tempoh 2024 hingga 2026.
“PDRM akan meneruskan siasatan secara menyeluruh dengan berlandaskan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes ini.
“Termasuk dalam aspek penyimpanan, pemindahan, penggunaan serta kemasukan atau pengeluaran wang yang disyaki mempunyai kaitan dengan hasil daripada aktiviti haram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung siasatan yang sedang dijalankan.






