Tegur suami keluar malam, wanita dakwa dicekik dan ditampar

23 Sep 2026 • 9:14 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tegur suami keluar malam, wanita dakwa dicekik dan ditampar

KANGAR - Seorang pemandu lori berumur 56 tahun direman empat hari bermula Rabu bagi membantu siasatan kes mencederakan isterinya pada 15 September lepas.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, suspek ditahan selepas isterinya berusia 49 tahun membuat laporan polis pada Selasa.

Beliau berkata, dalam kejadian pada jam 9.30 malam itu, suspek dipercayai menampar dan menghantukkan kepala wanita berkenaan sebelum menolaknya ke sofa serta cuba mencekiknya di sebuah rumah di Kampung Permatang Pauh, Simpang Empat, dekat sini.

"Suri rumah itu mengalami kesan lebam pada bahagian perut dan perselisihan faham dipercayai berlaku selepas wanita itu menegur suaminya supaya tidak keluar rumah pada waktu malam kerana mengesyakinya ingin berjumpa dengan wanita lain," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Yusharifuddin berkata, wanita itu mendakwa pergaduhan berlaku sejak dua tahun lepas setelah membaca perbualan suaminya dengan wanita tidak dikenali menerusi Facebook.

"Sejak itu, isterinya kerap bertanya mengenai perkara berkenaan, namun dinafikan suaminya yang dipercayai akan menamparnya ketika marah selain pernah memukulnya sehingga pengsan,” katanya.

Beliau berkata, wanita itu masih menerima rawatan dan pemeriksaan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), manakala kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved