
SETIU – Dua peniaga wanita maut selepas kereta Proton Waja dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan di Kilometer 48, Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu berhampiran Kampung Selamat, di sini, hari ini.
Dalam kemalangan pada pukul 3.45 petang itu, kedua-dua mangsa iaitu Nur Fauziah Ismail, 38, dan Zawiah Halias, 41, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Zahril Asri Mohd. Zain berkata, sewaktu kejadian, kedua-dua mangsa dikatakan dalam perjalanan ke Kuala Terengganu.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Proton Waja dinaiki kedua-dua mangsa dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan.
“Kereta mereka kemudian bertembung dengan sebuah treler yang dikatakan dalam perjalanan ke Kota Bharu, Kelantan,” katanya di sini, hari ini.
Zahril Asri berkata, treler terbabit kemudiannya bergesel dengan sebuah kenderaan pelbagai guna, Perodua Aruz, kereta Perodua Myvi dan sebuah lori.
Beliau berkata, mayat Nur Fauziah yang memandu kereta Proton Waja dan Zawiah yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu, di sini, untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE
The post Dua peniaga wanita maut kemalangan appeared first on Kosmo Online.





