BATU PAHAT – Dua wanita masing-masing berusia 22 tahun maut selepas kereta Perodua Myvi yang dinaiki mereka terbakar dalam kemalangan yang turut melibatkan sebuah lori di Batu 1, Jalan Yong Peng–Ayer Hitam, di sini, petang Jumaat.
Kejadian pada jam 4.21 petang itu menyebabkan pemandu, Siti Nur Batrisya Mohd Khalid, dan penumpang, Siti Nur Maisarah Abd Jalil, meninggal dunia di tempat kejadian.
Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba Mohd Shamin Mohamed Salikin berkata, sebaik sahaja Pasukan Keluaran Operasi (PKO) tiba di lokasi, pihaknya mendapati kereta berkenaan terbakar kira-kira 80 peratus.
Menurutnya, PKO kemudian menjalankan kerja pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula serta air daripada tangki jentera.
“Peralatan khas turut digunakan bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk masing-masing.
“Kedua-dua wanita berkenaan disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Mohd Shamin berkata, mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, tiga lelaki yang menaiki lori berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Operasi yang melibatkan 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam dan BBP Yong Peng itu tamat pada jam 6.38 petang.






![[KEMASKINI] Identiti dua wanita rentung dikenal pasti](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/rentung-kereta-terbakar-1024x768.jpeg)