Dua wanita maut kemalangan babitkan lima kenderaan

10 Oct 2026 • 10:43 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dua wanita maut kemalangan babitkan lima kenderaan
Keadaan Proton Waja dipandu mangsa yang terlibat dalam nahas membabitkan lima kenderaan di Kilometer 48, Kampung Selamat, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu di Setiu pada Sabtu. Gambar kecil: Zawiah (kiri) dan Nur Fauziah
Image from: Dua wanita maut kemalangan babitkan lima kenderaan
Anggota Bomba dan Penyelamat mengeluarkan mayat mangsa terlibat dalam nahas membabitkan lima kenderaan di Kilometer 48, Kampung Selamat, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu di Setiu

​SETIU - Dua rakan yang juga peniaga maut selepas kereta jenis Proton Waja dinaiki mereka terbabas sebelum bertembung dengan sebuah treler dalam nahas melibatkan lima kenderaan di Kilometer 48, Kampung Selamat, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu di sini pada Sabtu.

​Dalam kejadian kira-kira jam 3.45 petang itu, mangsa yang juga pemandu Proton Waja, Nur Fauziah Ismail, 38 dan penumpang hadapan, Zawiah Halias, 41 dari Bandar Permaisuri di sini disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

​Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Zahril Asri Mohd Zain berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian jam 4 petang.

​Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila kereta Proton Waja yang dipandu Nur Fauziah dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Terengganu hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.

**media[3674640]**

​"Kenderaan itu kemudian bertembung dengan sebuah treler jenis Mercedes Benz yang sedang dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kota Bharu.

​"Akibat pelanggaran tersebut, treler berkenaan hilang kawalan lalu bergesel dengan tiga kenderaan lain iaitu sebuah Perodua Aruz, Perodua Myvi dan sebuah lori jenis UDT yang bergerak dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Terengganu," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

​Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

​Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa peka dan mematuhi undang-undang serta peraturan jalan raya demi keselamatan bersama.

​"Mereka yang mempunyai maklumat atau menjadi saksi kepada kejadian ini diminta tampil ke Pejabat Trafik IPD Setiu atau menghubungi Inspektor Thaufiq di talian 011-26069043 bagi membantu siasatan," ujarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved