
SETIU: Pertemuan singkat di sebuah stesen bas di Bandar Permaisuri , di sini tengah hari ini menjadi kenangan terakhir buat Rosmawati Mamat, 51, bersama sepupunya sebelum wanita itu dilaporkan maut dalam kemalangan melibatkan lima buah kenderaan.
Dalam kejadian kira-kira 3.45 petang di Kilometer 48 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu dekat Kampung Selamat, di sini itu, dua peniaga iaitu Zawiah Halias, 41, dan Nur Fauziah Ismail, 38, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Nahas berlaku selepas Proton Waja dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan empat buah lagi kenderaan lain di laluan berkenaan.
Rosmawati berkata, dia sempat bertegur sapa dengan Allahyarham Zawiah ketika mereka kebetulan bertemu di lokasi berkenaan.
Bagaimanapun, dia menyedari sesuatu yang berbeza apabila sepupunya itu yang biasanya banyak bercakap kelihatan lebih pendiam ketika pertemuan berkenaan.
“Biasanya arwah seorang yang peramah tetapi ketika berjumpa tengah hari itu, dia lebih banyak diam. Saya tidak sangka itu menjadi pertemuan terakhir kami. Saya mendapat tahu mengenai kemalangan yang menimpa arwah kira-kira pukul 5 petang selepas dimaklumkan anak,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Unit Forensik Hospital Setiu, di sini malam ini.
Menurut Rosmwati, kejadian difahamkan berlaku ketika Allahyarham Zawiah dalam perjalanan untuk ke pasar malam di Sungai Tong.
Katanya, Allahyarham mencari pendapatan sampingan dengan berniaga di pasar termasuk menjual takoyaki bersama Nur Fauziah yang turut terkorban dalam kemalangan sama.
Sementara itu, anak saudara arwah, Nurul Syazwina Mohd. Suhaimi, 17, berkata, Allahyarham Zawiah yang mempunyai tiga anak perempuan itu sering bertanya khabar keluarga menerusi aplikasi WhatsApp.
“Kami sekeluarga sangat terkejut dengan kejadian yang menimpa Allahyarham dan kini masih menunggu kepulangan ahli keluarga yang tinggal jauh sebelum urusan pengebumian dilakukan,” katanya.
Jenazah Zawiah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Panchor Merah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Zahril Asri Mohd Zain berkata, nahas tersebut mengakibatkan Zawiah dan Nur Fauziah maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
“Mangsa yang menaiki Proton Waja dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Terengganu dan semasa sampai di tempat kejadian, kenderaan dinaiki hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah treler dari arah bertentangan.
“Ia mengakibatkjan treler terbabit hilang kawalan dan bergesel dengan Perodua Aruz, Perodua Myvi dan sebuah lori yang dalam perjalanan dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Terengganu,”katanya. – UTUSAN
The post Dua maut nahas lima kenderaan: Pertemuan singkat jadi kenangan terakhir appeared first on Utusan Malaysia.






