Dua penunggang motosikal parah dirempuh kereta

LocalCars
2 Apr 2026 • 4:36 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tangkap layar video tular memaparkan keadaan di lokasi kemalangan tiga kenderaan di Jalan Sultan Ismail, pada Khamis.

KUALA LUMPUR – Dua lelaki cedera parah selepas motosikal ditunggang mereka dirempuh sebuah kereta di lampu isyarat Jalan Sultan Ismail, di sini pada Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kemalangan pada jam 4.27 pagi itu, melibatkan sebuah kereta jenis Honda City dan dua motosikal Yamaha Y15ZR.

"Siasatan awal mendapati, kedua-dua motosikal yang ditunggang oleh dua lelaki tempatan berusia 24 tahun dan 19 tahun sedang melintasi persimpangan dengan lampu isyarat hijau.

"Namun, sebuah kereta yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun yang datang dari arah kanan dipercayai telah melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh kedua-dua motosikal tersebut," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, akibat kemalangan tersebut, kedua-dua penunggang motosikal cedera parah dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan.

"Mangsa berusia 24 tahun putus kaki kiri, manakala seorang lagi mangsa berusia 19 tahun patah tangan kiri serta kaki kiri.

"Pemandu kereta hanya cedera ringan di bahagian tangan, manakala seorang penumpang kereta turut mengalami kecederaan di bahagian kepala," katanya.

Beliau berkata, seorang lelaki tempatan berusia 19 tahun yang berada di lokasi kejadian telah tampil membuat laporan polis dan dirakam percakapan sebagai saksi.

"Hasil tindakan lanjut pemandu kereta tersebut telah berjaya dikesan dan ditahan semasa sedang mendapatkan rawatan di sebuah klinik di Kundang, Rawang pada jam 1 tengah hari.

"Ujian alkohol telah dijalankan dan didapati tidak melebihi had yang ditetapkan. Ujian saringan air kencing juga sedang dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi," katanya.

Mohd Zamzuri berkata, siasatan awal mendapati punca kemalangan adalah disebabkan oleh tindakan pemandu kereta yang gagal mematuhi lampu isyarat merah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H S Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya.