
TELUK INTAN: Taktik dua pemilik premis cuba mengaburi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak dengan menyeludup pelbagai jenis minuman keras dan bir serta menggunakan setem cukai disyaki palsu berjaya dipatahkan dalam dua operasi berasingan pada Julai lalu.
Menurut Pengarah JKDM Perak, Mohd. Nadzri Ariffin, pada 17 Julai lalu, lebih kurang pukul 8.45 pagi, sepasukan anggota Cawangan Penguatkuasaan JKDM Teluk Intan, telah melakukan serbuan ke atas sebuah premis kedai di Jalan Bunga Pekan, Banting, Selangor.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan, pasukan telah menemukan sejumlah minuman keras pelbagai jenama tak berkastam di dalam premis tersebut.
“Minuman keras berkenaan terdiri daripada produk berlabel “Malaysia Duty Not Paid” (MNDP) yang hanya dibenarkan dijual di kawasan bebas cukai serta minuman keras yang menggunakan setem cukai disyaki palsu,” katanya kepada pemberita di Pejabat Kastam JKDM Teluk Intan di sini, hari ini.
Katanya, minuman keras itu dianggarkan bernilai RM221,463.12 manakala jumlah duti dan cukai terlibat dianggarkan sebanyak RM48,277.92 menjadikan nilai keseluruhan RM269,741.04.
Jelas beliau, minuman keras berkenaan telah disita dan seorang lelaki warga emas tempatan berumur 70 tahun telah ditahan untuk siasatan lanjut.
“Pada 20 Julai lalu, lebih kurang pukul 3 petang, sepasukan anggota Cawangan Penguatkuasaan JKDM Teluk Intan telah melakukan serbuan ke atas premis rumah kediaman di Simpang, Taiping.
“Hasil pemeriksaan telah menemukan sejumlah bir pelbagai jenama disyaki tak berkastam di dalam premis tersebut,” katanya.
Mohd. Nadzri memaklumkan, pemeriksaan lanjut mendapati, bir berkenaan merupakan bir import yang tidak dilekatkan dengan setem cukai kastam sah sebagaimana Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
“Bir berkenaan dianggarkan bernilai RM17,131.38 manakala jumlah duti dan cukai dianggarkan RM26,426.38 menjadikan jumlah keseluruhan RM43,557.76.
“Modus operandi mereka menjadikan premis kedai atau rumah kediaman sebagaimana tempat penyimpanan barangan larangan sebelum barangan tersebut diedarkan untuk dijual dalam pasaran tempatan,” katanya.
Katanya, jumlah keseluruhan rampasan minuman keras dan bir tersebut termasuk duti dan cukai berjumlah RM313,298.80. – UTUSAN
The post Dua premis diserbu seludup minuman keras guna setem cukai palsu appeared first on Utusan Malaysia.





