
TELUK INTAN – Taktik dua pemilik premis cuba mengaburi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak dengan menyeludup pelbagai jenis minuman keras dan bir serta menggunakan setem cukai disyaki palsu berjaya dipatahkan dalam dua operasi berasingan pada Julai lalu.
Menurut Pengarah JKDM Perak, Mohd. Nadzri Ariffin, pada 17 Julai lalu, lebih kurang pada pukul 8.45 pagi, sepasukan anggota Cawangan Penguatkuasaan JKDM Teluk Intan, telah melakukan serbuan ke atas sebuah premis kedai di Jalan Bunga Pekan, Banting, Selangor.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan, pasukan telah menemukan sejumlah minuman keras pelbagai jenama tak berkastam di dalam premis tersebut.
“Minuman keras berkenaan terdiri daripada produk berlabel Malaysia Duty Not Paid (MNDP) yang hanya dibenarkan dijual di kawasan bebas cukai serta minuman keras yang menggunakan setem cukai disyaki palsu,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Kastam JKDM Teluk Intan di sini hari ini.
Katanya, minuman keras itu dianggarkan bernilai RM221,463.12 manakala jumlah duti dan cukai terlibat dianggarkan sebanyak RM48,277.92 yang menjadikan nilai keseluruhan RM269,741.04.
Beliau berkata, minuman keras berkenaan telah disita dan seorang lelaki warga emas tempatan berumur 70 tahun telah ditahan untuk siasatan lanjut.
“Pada 20 Julai lalu, lebih kurang pukul 3 petang, sepasukan anggota Cawangan Penguatkuasaan JKDM Teluk Intan telah melakukan serbuan ke atas premis rumah kediaman di Simpang, Taiping. Hasil pemeriksaan telah menemukan sejumlah bir pelbagai jenama disyaki tak berkastam di dalam premis tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Taktik palsukan setem cukai gagal, dua premis diserbu Kastam appeared first on Kosmo Digital.






