Dua projek naik taraf di Kompleks Penyiaran Sabah dijangka siap 2028

12 Aug 2026 • 4:24 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Dua projek naik taraf di Kompleks Penyiaran Sabah dijangka siap 2028

Kota Kinabalu: Dua projek pembangunan melibatkan pengubahsuaian dan penggantian peralatan penyiaran serta sistem pendingin hawa di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi di sini sedang dilaksanakan bagi meningkatkan keupayaan operasi dan keselesaan warga kerja.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata projek pertama, melibatkan penggantian peralatan penyiaran di studio dengan kelengkapan baharu untuk menyokong siaran digital dan berdefinisi tinggi 4K, serta penyediaan peralatan sokongan seperti lampu dan latar pentas bagi meningkatkan kualiti produksi kandungan penyiaran.

“Kemajuan projek penggantian peralatan studio kini mencapai kira-kira 10 peratus dan dijangka siap pada 2028,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi, di sini pada Isnin.

Beliau berkata projek kedua pula membabitkan penggantian empat unit pendingin hawa atau sistem penyaman udara berkapasiti besar yang diperlukan bagi memastikan persekitaran kerja yang lebih selesa dan selamat, selain mengambil kira aspek kesihatan warga kerja.

“Proses tender bagi projek penggantian itu bermula penghujung Ogos ini dan peralatan tersebut dijangka tiba pada pertengahan tahun depan, sebelum kerja-kerja pemasangan dimulakan dan dijangka mengambil masa 24 bulan untuk disiapkan.

“Saya juga meminta supaya kerja-kerja ini dilakukan mengikut jadual yang telah ditetapkan dan pada kos yang telah diputuskan. Kita tidak mahu ada keadaan sama ada projek itu lewat atau kosnya melambung tinggi,” katanya.

Fahmi berkata bagi memastikan kedua-dua projek berjalan lancar, pelaksanaannya akan dipantau bagi memastikan kerja dapat disiapkan mengikut jadual dan kos yang telah ditetapkan, tanpa menjejaskan operasi Radio Televisyen Malaysia (RTM) serta jabatan dan agensi yang beroperasi di kompleks tersebut.

Beliau berkata pemantauan projek akan turut melibatkan pegawai dan Pengarah RTM Negeri, supaya setiap kerja dilaksanakan mengikut perancangan dan mengelakkan kelewatan.

Terdahulu Fahmi diberikan taklimat oleh Pengarah Urusan VME Broadcast Sdn Bhd Datuk Azhar Ab Rahman mengenai penggantian peralatan penyiaran di studio.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Cawangan Kejuruteraan Mekanikal Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah Band Sabin dan Jurutera Mekanikal Cawangan Kejuruteraan Mekanikal JKR Sabah Ranel Pierre J Muyau, turut memberikan taklimat berkaitan usaha naik taraf sistem pendingin hawa.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved