Dua rakyat Thailand terlibat penemuan kubur besar ditahan semula

12 Nov 2026 • 5:46 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Dua rakyat Thailand terlibat penemuan kubur besar ditahan semula

SATUN (THAILAND): Pihak berkuasa Thailand menahan semula dua daripada empat rakyatnya yang terlibat dalam kes penemuan kubur besar di sempadan Thailand-Malaysia di Perlis serta Songkhla pada 2015 Selepas kedua-duanya selesai menjalani hukuman penjara lima tahun di Malaysia.

Penahanan itu dibuat setelah kedua-duanya yang berusia 50-an diserahkan oleh Imigresen Malaysia di pintu sempadan Wang Kelian, Perlis dan Wang Prachan di Wilayah Satun, kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.

Penguasa Imigresen Wilayah Satun, Kolonel Polis Charoenpong Khantiloh berterima kasih kepada Jabatan Imigresen Perlis kerana memberi kerjasama menghantar pulang rakyat Thailand terbabit, sekali gus membolehkan dua daripadanya ditahan semula.

Menurutnya, walaupun telah menghadapi pertuduhan dan hukuman penjara di Malaysia, kedua-duanya masih mempunyai waran tangkap tertunggak berkaitan dua rangkaian sindiket utama yang terlibat dalam kes pemerdagangan manusia Rohingya.

“Pihak Imigresen Satun dengan kerjasama polis dan Bahagian Anti-Pemerdagangan Manusia telah menerima empat warga Thailand yang dibebaskan dari penjara Malaysia melalui lintasan sempadan Wang Prachan.

“Setelah pemeriksaan, dua daripada mereka didapati mempunyai waran tangkap tertunggak. Mereka serta-merta ditangkap dan akan didakwa di bawah undang-undang Thailand,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Pada 1 Mei 2015, pihak berkuasa Thailand menemukan kem tahanan rahsia serta puluhan mayat pelarian Rohingya dan Bangladesh di kawasan hutan tebal Khao Kaeo di Daerah Sadao, Wilayah Songkhla yang bersempadan dengan Malaysia.

Susulan operasi di Thailand, pihak berkuasa Malaysia melancarkan Op Wawasan Khas dan menemukan 28 kem haram yang ditinggalkan serta 139 kubur mangsa pemerdagangan manusia di kawasan berbukit berhampiran sempadan di Wang Kelian dan Padang Besar, Perlis.

Penemuan kem dan kubur di kawasan itu menggemparkan dan menjadi titik tolak kepada pendedahan rangkaian sindiket penyeludupan manusia berskala besar di rantau Asia Tenggara.

Pada Jun 2023, pihak berkuasa Thailand mengekstradisi empat rakyatnya ke Malaysia atas tuduhan pemerdagangan manusia. Mereka dituduh memperdagangkan pelarian Rohingya hingga meninggal dunia sebelum Mahkamah Tinggi Kangar menjatuhi hukuman lima tahun penjara.

Charoenpong berkata, kedua-duanya bakal berdepan pertuduhan serius mengikut Akta Pencegahan dan Penindasan Pemerdagangan Manusia B.E. 2008 (2008), yang boleh dihukum penjara seumur hidup atau hukuman mati. – UTUSAN

The post Dua rakyat Thailand terlibat penemuan kubur besar ditahan semula appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved