Dua rakyat Thailand terlibat penemuan kubur besar Wang Kelian ditahan semula

13 Nov 2026 • 7:45 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Dua rakyat Thailand terlibat penemuan kubur besar Wang Kelian ditahan semula

SATUN (THAILAND): Pihak berkuasa Thailand menahan semula dua daripada empat rakyatnya yang terlibat dalam kes penemuan kubur besar di sempadan Thailand-Malaysia di Perlis dan Songkhla pada 2015 selepas kedua-duanya selesai menjalani hukuman penjara lima tahun di Malaysia.

Penahanan itu dibuat setelah kedua-duanya yang berusia 50-an­ diserahkan oleh Imigresen Malaysia di pintu sempadan Wang Kelian, Perlis dan Wang Prachan di Wilayah Satun, kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.

Penguasa Imigresen Wilayah Satun, Kolonel Polis Charoenpong Khantiloh berterima kasih kepada Imigresen Perlis kerana memberi kerjasama menghantar pulang rakyat Thailand terbabit, sekali gus memboleh­kan dua daripadanya ditahan semula.

Menurutnya, walaupun telah menjalani hukuman penjara di Malaysia, kedua-duanya masih mempunyai waran tangkap tertunggak berkaitan dua rangkaian sindiket utama yang terlibat dalam kes pemerdagangan manusia Rohingya.

“Pihak Imigresen Satun dengan kerjasama polis dan Bahagian Anti-Pemerdagangan Manusia telah menerima empat warga Thailand yang dibebaskan dari penjara Malaysia melalui lintasan sempadan Wang Prachan.

“Setelah pemeriksaan, dua daripada mereka didapati mempunyai waran tangkap tertunggak. Mereka serta-merta ditangkap dan akan didakwa di bawah undang-undang Thailand,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada 1 Mei 2015, pihak berkuasa Thailand menemukan kem tahanan rahsia dan puluhan mayat pelarian Rohingya dan Bangladesh di kawasan hutan tebal Khao Kaeo di Daerah Sadao, Wilayah Songkhla yang bersempadan dengan Malaysia.

Susulan operasi di Thailand, pihak berkuasa Malaysia me­lancarkan Op Wawasan Khas dan menemukan 28 kem ha­ram yang ditinggalkan serta 139 kubur mangsa pemerdagangan manusia di kawasan berbukit berhampiran sempadan di Wang Kelian dan Padang Besar, Perlis. – UTUSAN

The post Dua rakyat Thailand terlibat penemuan kubur besar Wang Kelian ditahan semula appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved