ISOC 4 kutuk serangan terhadap orang awam, pelajar Selatan Thai

13 Nov 2026 • 7:35 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: ISOC 4 kutuk serangan terhadap orang awam, pelajar Selatan Thai

NARATHIWAT (THAILAND): Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) mengutuk sekeras-kerasnya serangan terhadap orang awam, khususnya kanak-kanak, dalam siri keganasan di Wilayah Satun, Yala dan Songkhla, sejak kelmarin.

Timbalan jurucakap ISOC 4, Kolonel Ekwarit Chobchuphol berkata, insiden keganasan se­hingga menyusahkan dan men­cederakan orang awam, terutama pelajar sekolah sebagaimana berlaku di Wilayah Satun pada Ahad dan Isnin, tidak sepatut­nya berlaku.

Menurutnya, serangan ganas tanpa mengira motif atau alasannya menggunakan bahan letupan buatan sendiri (IED) menjejaskan kehidupan dan ke­se­lamatan orang ramai.

“Serangan yang menjejaskan kanak-kanak dan orang awam yang tidak bersalah bukan sahaja menyebabkan kerugian dan ketakutan kepada pelajar dan keluarga mereka, tetapi ju­ga memberi kesan serius kepada ketenteraman awam.

“Mereka yang terlibat dalam insiden sedemikian mesti disiasat dan dibawa ke muka penga­dilan sepenuhnya mengikut un­dang-undang, tanpa terkecuali,” katanya kepada Utusan Malaysia tanpa merujuk kepada mana-mana kumpulan bersenjata di Selatan Thai.

Namun, beliau percaya siri ke­ganasan itu dilakukan penyokong dan anggota kumpulan pemisah Selatan Thai, bertujuan menunjukkan kekuatan mereka menjelang proses dialog damai yang dijangka disambung semula Disember ini.

Untuk rekod terdapat se­ku­rang-kurangnya empat kumpulan pejuang yang aktif di Selatan Thai iaitu Barisan Revolusi Nasional Melayu Pattani (BRN), Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu (PULO), Barisan Pembebasan Islam Patani (BIPP) dan Gerakan Mujahideen Islam Patani (GMIP).

Bagaimanapun, pihak ber­kuasa sebelum ini percaya keganasan di Selatan Thailand turut melibatkan sindiket penyeludupan dadah.

Ekwarit berkata, dalam insi­den di Satun pagi Isnin lalu, la­pan pelajar Sekolah Wichianmatu di Wilayah Trang cedera dengan tiga terpaksa dimasukkan ke Hospital Thung Wa, setelah van dinaiki terkena IED yang ditanam di tepi jalan utama. – UTUSAN

The post ISOC 4 kutuk serangan terhadap orang awam, pelajar Selatan Thai appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved