Kes Wang Kelian: 4 warga Thailand selesai hukuman, dihantar pulang

12 Nov 2026 • 11:53 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kes Wang Kelian: 4 warga Thailand selesai hukuman, dihantar pulang

KANGAR: Empat pesalah tragedi kem penyeludupan migran dan kubur besar Wang Kelian pada tahun 2015 antara enam lelaki warga Thailand dihantar pulang selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Pengarah Imigresen Perlis, Mohammad A’sim Md Ali berkata, proses pemindahan kesemua individu terbabit dilaksanakan melalui Pos Imigresen Wang Kelian menerusi penyelarasan bersama pihak berkuasa Thailand.

Katanya, empat lelaki berusia antara 31 hingga 61 tahun itu sebelum ini diekstradisi dari Thailand ke Malaysia pada Jun 2023 bagi menghadapi proses perundangan berhubung tragedi berkenaan.

“Pada 7 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Kangar menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap keempat-empat lelaki itu selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 26H Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670) berkaitan kesalahan melindungi migran diseludup.

“Hukuman berkenaan diperintahkan berkuat kuasa dari tarikh mereka ditahan, iaitu 22 Jun 2023,” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

Mohammad A’sim berkata, dua lagi lelaki warga Thailand yang turut dipindahkan itu selesai menjalani hukuman atas kesalahan imigresen berasingan mengikut Seksyen 8(3)(a) dan Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta tidak terbabit dengan kes ATIPSOM berkenaan.

“Kesemua enam individu itu diserahkan kepada pihak berkuasa Thailand di Pos Imigresen Wang Kelian bagi tindakan lanjut mengikut proses perundangan negara berkenaan.

“Imigresen merakamkan penghargaan atas kerjasama erat dan hubungan strategik terjalin dengan pihak berkuasa Thailand dalam menangani jenayah rentas sempadan serta memastikan urusan pemindahan ini berjalan teratur demi memelihara keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.

The post Kes Wang Kelian: 4 warga Thailand selesai hukuman, dihantar pulang appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved