JOHOR BAHRU - Polis menahan dua remaja bagi membantu siasatan berhubung penemuan bayi perempuan yang ditinggalkan di kawasan Taman Universiti pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, tangkapan terhadap seorang lelaki berusia 18 tahun dan wanita berusia 19 tahun itu, dibuat kira-kira jam 2.15 pagi pada Selasa.
Menurutnya, hasil semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan ujian air kencing yang dijalankan ke atas mereka adalah negatif.
“Kedua-dua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan dan akan dibawa ke Mahkamah Johor Bahru pada pagi Selasa untuk permohonan reman,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu membuang atau menyembunyikan bayi dengan niat meninggalkan bayi tersebut.
Sehubungan itu, polis menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta sentiasa mematuhi undang-undang demi keselamatan masyarakat.
Sebelum itu, media melaporkan seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemui ditinggalkan bersendirian di pekarangan sebuah surau di Taman Universiti, Skudai, di sini Sabtu lalu.






