Buang bayi depan surau, dua remaja direman tiga hari

14 Apr 2026 • 5:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Buang bayi depan surau, dua remaja direman tiga hari
Dua remaja yang ditahan susulan penemuan bayi perempuan di kawasan Taman Universiti direman selama tiga hari bermula Selasa.

JOHOR BAHRU – Dua remaja yang ditahan susulan penemuan bayi perempuan di kawasan Taman Universiti direman selama tiga hari bermula Selasa.

Perintah reman terhadap remaja lelaki berusia 18 tahun dan remaja perempuan berusia 19 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Atifah Hamizah di Mahkamah Majistret Johor Bahru.

Ia bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang atau menyembunyikan bayi dengan niat meninggalkannya.

Sebelum itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, tangkapan terhadap lelaki berusia 18 tahun dan wanita berusia 19 tahun itu dibuat kira-kira jam 2.15 pagi pada Selasa.

Menurut beliau, hasil semakan mendapati pasangan terbabit tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan ujian air kencing terhadap mereka didapati negatif.

Terdahulu tular video seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemui ditinggalkan bersendirian di pekarangan sebuah surau di Taman Universiti, Skudai, Sabtu lalu.