
Dua pelajar lelaki bawah 16 tahun maut apabila motosikal mereka bertembung kereta di Jalan Nyior Chabang, Langkawi ketika pulang dari sekolah.
ALOR SETAR: Dua pelajar lelaki maut selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan di Jalan Nyior Chabang, dekat Langkawi, hari ini, ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah.
Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Khairul Azhar Nuruddin berkata dalam kejadian 1.51 tengah hari itu, kedua-dua mangsa yang berusia di bawah 16 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan badan.
“Siasatan awal mendapati motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari Simpang Kenyum menuju ke Nyior Chabang.
“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal yang dinaiki mereka dipercayai memotong dua kereta yang datang dari arah sama, sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lagi kereta yang datang dari arah hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha di Langkawi untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada waris.
“Tiga pemandu kereta yang terlibat dalam kejadian itu tidak mengalami sebarang kecederaan. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Orang awam yang menyaksikan kejadian atau mempunyai rakaman kamera papan pemuka di sekitar kawasan berkenaan diminta tampil membantu siasatan.





